Thursday, March 4, 2010

Prospek kenaikan gaji pekerja 2010 positif

Prospek kenaikan gaji pekerja 2010 positif


PROSPEK bagi pekerja negara ini mendapat kenaikan gaji tahun ini positif, demikian mengikut kajian dijalankan Grant Thornton, sebuah firma perunding antarabangsa.

Mengikut Laporan Perniagaan Antarabangsa (IBR) firma itu, 63 peratus daripada syarikat negara ini merancang menaikkan gaji pekerja masing-masing, berbanding hanya 44 peratus tahun lalu.

Peratusan syarikat yang tidak bersedia untuk sebarang kenaikan gaji juga menyaksikan penurunan kepada hanya 30 peratus berbanding 36 peratus tahun lalu.




Namun, mengikut laporan itu majoriti perniagaan seluruh dunia lebih optimistik bagi 2010 ini, pekerja silap jika mereka berasakan tempoh sukar sudah berakhir.

"Apabila ditanya mengenai gaji kakitangan bagi tahun akan datang, 7,400 perusahaan sederhana dan besar di 36 negara menunjukkan mereka berkemungkinan tidak memberikan kenaikan gaji tahun ini berbanding tahun lalu.

"Tiga puluh enam peratus perniagaan merancang untuk tidak menaikkan gaji atau mengurangkan gaji di seluruh dunia, berbanding 24 peratus pada 2009," demikian mengikut laporan itu yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Mengenai penambahan pekerja, 29 daripada 36 negara yang dikaji menjangka menambah bilangan kakitangan pada 2010 ini.

Mengikut laporan itu, perniagaan paling optimistik ialah di Vietnam, Brazil, Botswana, Australia dan India.

Bagi Malaysia yang berada di kedudukan ke-14 dalam senarai itu, empat peratus pemilik perniagaan negara menjangka menambah bilangan kakitangan pada 2010, berbanding 20 peratus tahun lalu, iaitu penurunan 16 peratus.

"Ia adalah negatif, berbanding pemilik perniagaan di negara jiran seperti Vietnam dengan kenaikan 54 peratus, Filipina dengan peningkatan 29 peratus, dan Singapura dengan pertumbuhan 13 peratus dari segi bilangan kakitangan," demikian mengikut laporan itu.

IBR adalah kaji selidik tahunan pandangan eksekutif kanan dalam perniagaan persendirian di seluruh dunia. - Bernama

No comments:

Post a Comment